SHAH ALAM, 7 OGOS - Tujuh warga asing termasuk dua wanita ditahan polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di Bandar Sentosa, Klang pada 20 Jun lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamalariffin Aman Shah berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 34 tahun diberkas di sekitar Klang selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita warga asing pada 23 Julai.
“Wanita itu datang membuat laporan mendakwa berlaku kejadian bunuh di sebuah rumah kedai di Lorong Laksamana 20.
"Perselisihan faham di antara seorang suspek dan mangsa semasa minum minuman beralkohol, mencetuskan pertengkaran mulut lalu suspek telah menikam mangsa sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mangsa, seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun, maut akibat tikaman di badan dan leher.
Enam lagi lelaki yang berada di lokasi didapati telah membawa mayat mangsa dan menanamnya bagi menghapuskan bukti.
“Hasil soal siasat membawa kepada penemuan mayat mangsa serta senjata dipercayai digunakan iaitu sebilah pisau,” katanya.
Kesemua suspek dijangka dihadapkan ke Mahkamah Klang hari ini.
“Suspek utama, lelaki berusia 34 tahun, akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala empat lagi suspek lelaki akan didakwa di bawah Seksyen 201 kerana menyembunyikan mayat,” jelasnya.
Kamalariffin turut memaklumkan semua suspek berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.