BUTTERWORTH, 7 Ogos – Seramai 35 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah pusat hiburan, di sini selepas melakukan pelbagai kesalahan.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Osman berkata, antara kesalahan dikesan termasuk tinggal lebih masa, menjalankan aktiviti persundalan dan menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan tempatan.
Kesemua wanita berusia 23 hingga 45 tahun itu terdiri daripada 19 warga Vietnam, 14 Thailand, seorang China dan seorang Laos.
"Mereka bersembunyi di dalam bilik rahsia premis berkenaan di tingkat tujuh, ketika serbuan dilakukan awal pagi tadi.
Premis terbabit mempunyai 10 bilik dengan ruang rahsia tersembunyi di sebalik sofa, pembesar suara dan tandas," katanya ketika ditemui di lokasi.
Jelas beliau, wanita terlibat dipercayai menerima bayaran antara RM250 hingga RM300 sejam dan sejumlah wang tunai serta nombor badan turut ditemui.
Basri memaklumkan, dua lelaki warga China turut ditahan manakala 73 lelaki tempatan diperiksa.
“Semua akses ke premis dimatikan termasuk lif dan pasukan terpaksa memecah pintu untuk masuk,” ujarnya.
Premis yang dipercayai telah beroperasi lebih setahun itu turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan dikawal rapi, dipercayai dengan bantuan ‘tonto’.
Kes disiasat bawah Akta Imigresen 1959/1963.
Semua tangkapan dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Jawi.
Operasi bermula pukul 12.30 tengah malam hingga 2.30 pagi itu melibatkan 45 anggota dari Ibu Pejabat Imigresen Perak dan Pulau Pinang.