SIK, 7 Ogos - Seramai 101 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal mereka semalam melalui Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah berkata pemindahan itu diketuai Timbalan Penguasa Imigresen (TPPI) Nur Ishak Hamzah bersama 14 pegawai lain dari JIM Kedah.
Mereka terdiri daripada 55 lelaki dewasa, 43 wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan, yang sebelum ini ditempatkan di Depot Imigresen Belantik, Sik.
“Hasil siasatan mendapati mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Mereka didapati masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
JIM Kedah menjelaskan bahawa semua tahanan telah menjalani hukuman yang ditetapkan sebelum proses penghantaran pulang dilaksanakan.
Program pemindahan ini merupakan sebahagian daripada langkah penguatkuasaan berterusan agensi itu dalam memastikan kawalan imigresen diperkukuh dan kedaulatan undang-undang negara terus terpelihara.
JIM turut menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan tindakan tegas dan profesional dalam menangani kebanjiran PATI.
Ini selaras dengan pendekatan Malaysia MADANI dan aspirasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memelihara keselamatan serta ketenteraman awam.