SEPANG, 7 Ogos - Cubaan 26 warga Bangladesh memasuki negara ini secara tidak sah melalui dua penerbangan dari Dhaka dipatahkan oleh Pasukan Pemantau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1), semalam.
Kesemua mereka dikesan berdasarkan maklumat risikan awal dan ditahan sebaik sahaja keluar dari pesawat sebelum diarahkan ke Pejabat Operasi AKPS KLIA1 untuk semakan lanjut.
"Laluan kemasukan mereka dipercayai telah disusun atur secara terancang dengan bantuan pihak tertentu.
“Siasatan mendapati kesemua individu terbabit tidak memenuhi syarat kemasukan dan dipercayai cuba masuk menggunakan alasan yang meragukan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Pihak AKPS bertindak pantas mengeluarkan arahan supaya semua warga asing terbabit dihantar pulang ke negara asal melalui penerbangan seterusnya.
“Langkah ini adalah sebahagian usaha berterusan AKPS dalam mengekang kemasukan pelawat berisiko tinggi yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam negara,” menurut kenyataan itu lagi.