JOHOR BAHRU, 7 Ogos -Seorang wanita warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistert Johor Bahru atas tiga pertuduhan memiliki dan mengedar pelbagai jenis dadah lebih lima kilogram, bulan lalu.
Tertuduh, Vo Thi Be Thu, 31 tahun hanya mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret A.Shaarmini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki serta mengedar dadah jenis MDMA dan ketamin di sebuah pangsapuri di Persiaran Sutera Danga, Johor Bahru, pukul 2.00 petang pada 25 Julai lalu.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid, tertuduh turut didakwa atas tuduhan memiliki dadah di dalam pangsapuri sama kira-kira pukul 3.20 petang, pada tarikh sama.
Kes didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 .
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Manushi Suthakar dan Siti Aishah Latif.
Mahkamah menetapkan 7 Oktober depan untuk sebutan semula kes.