KANGAR, 7 Ogos - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas dua buah kontena berisi 55,572 kilogram ayam sejuk beku berikutan kesemua ayam berkenaan didapati tidak mematuhi peraturan import seperti yang sewajarnya selain status halal mencurigakan.
Pengarah JKDM Perlis Ismail Hashim berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati kesemua ayam berkenaan berasal dari negara lain sebelum dibawa masuk ke Malaysia.
Kemudian pihak yang bertanggungjawab cuba menipu dengan membawa kesemua ayam itu ke Thailand dan membawa masuk semula ke negara ini bagi mendapat pengurangan cukai.
"Pemindahan barangan dikesan menggunakan Borang Kastam 8, di mana kita dapat lihat negara asal (country of origin) dinyatakan sebagai China. Namun, barangan tersebut tidak memasuki Thailand seperti yang diisytihar, sebaliknya berpatah balik dan melalui mesin pengimbas. Susulan itu, kita menahannya serta mendapati borang kastam satu borang import telah disediakan, menunjukkan seolah-olah barangan itu diimport dari Thailand.
"Tujuannya dipercayai bagi mengelak cukai, memandangkan barangan dari negara ASEAN mendapat pengecualian cukai import – dalam kes ini, sebanyak 20 peratus duti import. Antara isu berbangkit termasuklah penipuan negara asal, pengelakan cukai dan kesahan sijil halal yang meragukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media susulan kejayaan beberapa rampasan pelbagai barangan dagangan dan kenderaan di sini.
Antara lain yang berjaya di rampas dalam beberapa siri tangkapan terbaru JKDM ialah, Rokok, Vape, Minuman Keras, Barangan Plastik serta kenderaan tiada Permit Pengedaran Antarabangsa (ICP).
Kesemua rampasan berjumlah RM1.604 juta manakala cukai bernilai lebih RM328,000.