fb fb fb fb fb

Dalang ganja tumpas, polis rampas 66.42 kg ganja di Kedah

Gambar hiasan

SUNGAI PETANI, 6 Ogos - Polis Kedah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas merampas 66.42 kilogram bunga ganja bernilai RM2.32 juta dalam empat serbuan berasingan di daerah Kuala Muda.

Ini sekali gus menjadikan rampasan terbesar bahan terlarang itu di negeri berkenaan setakat tahun ini.

Lima individu termasuk ketua sindiket berusia antara 24 hingga 26 tahun ditahan, dalam serbuan sejak Ahad lalu sehingga Isnin.

Ketua Polis Kedah, Pesuruhjaya Polis (CP) Datuk Adzli Abu Shah berkata, serbuan pertama dilakukan di tepi jalan Lot 88, Sungai Petani pada pukul 1.30 tengah hari dan menahan tiga lelaki bersama lima beg mengandungi 64.625 kilogram bunga ganja.

Manakala serbuan kedua dijalankan pada malam hari sama di sebuah rumah di Taman SP Saujana Permai, membawa kepada penemuan tambahan 1.817 kilogram ganja.

Sehari kemudian, dua wanita termasuk isteri kepada ketua sindiket ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

“Kalau ikut risikan kita, sindiket ni baru beroperasi sekitar Julai tahun ini. Siasatan kita, mereka baru dua kali buat penghantaran daripada negara jiran.

"Kali pertama dah terlepas, yang kedua ini kita berjaya tahan dalam proses penghantaran ke Shah Alam dan seterusnya ke negara ketiga. Sebab itu kita dapat tangkap ‘mastermind’ dan juga transporter," katanya kepada media di sini, hari ini.

Siasatan awal mendapati ganja dibawa masuk dari negara jiran melalui sempadan Padang Besar, Perlis dan disorok dalam panel pintu serta bampar kenderaan sebelum disimpan di Taman SP Saujana, Sungai Petani.

Dua suspek lelaki didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah, manakala ketua sindiket bersama dua wanita lain disahkan bersih daripada dadah dan rekod jenayah.

Ketiga-tiga lelaki terbabit direman sehingga 10 Ogos, manakala dua wanita direman hingga 11 Ogos ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

GRACE AISYAH KEDAYAN