KOTA KINABALU, 29 September - Prosiding inkues kematian remaja Zara Qairina Mahathir memasuki hari ke-16 hari ini dengan saksi kanak-kanak kelima yang juga saksi ke-13, menyambung keterangannya secara tertutup di Mahkamah Koroner di sini pada 9.30 pagi.
Saksi berkenaan yang ditemani ibunya sebagai pendamping, mula memberi keterangan pada Jumaat lalu.
Pagi ini saksi kanak-kanak itu akan disoal oleh peguam mewakili bapa Allahyarham di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Bagi sesi hari ini, seorang lagi saksi iaitu kanak-kanak keenam dijangka tampil memberi keterangan, dengan 29 lagi saksi kanak-kanak akan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang prosiding.
Pada prosiding Jumaat lalu, saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner dengan kewujudan kumpulan pelajar digelar “Geng Circle19” yang dianggotai 19 pelajar rapat di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Beberapa saksi kanak-kanak mendedahkan Zara Qairina pernah dihina dengan kata-kata kesat termasuk dipanggil ‘anjing gila’ serta menjadi sasaran ejekan rakan asrama.
Mahkamah sebelum ini memutuskan media hanya dibenarkan membuat liputan semula selepas semua saksi kanak-kanak selesai memberi keterangan, bagi melindungi identiti serta kebajikan mereka.
Prosiding inkues terhadap kematian Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bermula pada 2 September lalu untuk menentukan punca dan sebab kematiannya, serta sama ada wujud unsur jenayah atau tidak.
Pada 17 Julai lalu, Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar sehari sebelumnya.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan pihak polis.
Sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.