fb fb fb fb fb

AKPS rampas kosmetik tidak bernotifikasi di Bukit Kayu Hitam

Foto AKPS Bukit Kayu Hitam

BUKIT KAYU HITAM, 29 September -Cubaan menyeludup pelbagai jenis kosmetik tidak bernotifikasi gagal, hasil pemeriksaan rutin dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam sekitar pukul 3.10 petang semalam.

Timbalan Komander (Pengurusan) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Dr Mohd Khairul Anuar Roselan dalam kenyataan berkata, anggaran nilai rampasan tersebut adalah sebanyak RM3,200.00.

"Pemeriksaan mendapati sebuah kenderaan awam cuba membawa masuk sejumlah besar kosmetik yang tidak bernotifikasi. Produk-produk ini tidak mempunyai kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disyaki boleh menimbulkan risiko terhadap kesihatan awam. Barang rampasan telah disimpan di stor AKPS untuk tindakan lanjut oleh pihak Penguatkuasa Farmasi," katanya menerusi kenyataan itu.

Bagaimanapun tiada individu ditahan dan tiada maklumat agen terlibat dalam kes terbabit.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rampasan dibuat secara sukarela apabila pemilik menyerahkan sendiri barang berkenaan kepada pihak AKPS.

"Semua barang rampasan akan dilupuskan selepas tempoh 30 hari mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan," katanya.

AKPS menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan dengan membawa barang sejenis kosmetik bernotifikasi serta memastikan setiap produk yang dibawa masuk mempunyai kelulusan daripada KKM dan pelabelan yang sah.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang bagi menjaga keselamatan dan kesihatan awam.

TETITIA YUSOFF