SHAH ALAM, 2 Julai- Hampir 90 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah berjaya dirampas oleh pihak polis melalui tiga serbuan yang berbeza di sekitar Lembah Klang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata tangkapan melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan lingkungan umur 34 hingga 48 tahun.
Tangkapan pertama dibuat pada Khamis lalu di sekitar Puchong melibatkan pasangan suami isteri lingkungan umur antara 41 hingga 42 tahun, bersama dengan bungkusan dadah yang dijumpa di dalam lori.
"Kita merampas tujuh guni plastik berwarna putih yang mengandungi tanah yang disembunyikan, 56 bungkusan plastik berwarna keemasan bertulisan 'Guanyingwang' berisi bahan disyaki dadah jenis Syabu dengan anggaran berat 57,636 gram yang ditemukan di dalam sebuah lori."
"Lori ini adalah lori yang digunakan sebagai pengangkutan dan lori ini juga digunakan untuk perkhidmatan penghantaran. Maksudnya, kedua-dua mereka yang ditangkap adalah sebagai 'penghantar' untuk pindahkan barang dari satu lokasi ke lokasi lain," kata Datuk Hussein kepada pemberita, hari ini.
Tangkapan kes kedua pula dibuat pada Sabtu lalu, sekitar Ampang melibatkan seorang lelaki tempatan serta merampas satu beg berwarna hitam yang berisi 10 bungkusan plastik dadah jenis Heroin.
"Serbuan terakhir pula dibuat pada Isnin, berjaya menahan seorang lelaki tempatan di sekitar Sungai Buloh bersama beg bagasi yang berisi 26 ketulan mampat dedaun kering yang disyaki dadah jenis Ganja," tambahnya.
Nilai rampasan dadah bagi ketiga-tiga kes adalah sebanyak RM1.97 juta.
Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika disabitkan kesalahan, suspek akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.