fb fb fb fb fb

Permohonan cabar keputusan Lembaga Pengampunan: Peguam Najib dibenar berhujah

Datuk Seri Najib Tun Razak (Tengah)

KUALA LUMPUR, 2 Julai - Peguam Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan berhujah dalam prosiding semakan kehakiman Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda bekas Perdana Menteri itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menyertai prosiding tersebut dan berhujah kerana ia membabitkan kepentingan awam.

“Kes ini merupakan kes berkepentingan awam dan responden kedua (Najib) diberi kebenaran untuk berhujah di peringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman.

"Demi keadilan, saya menangguhkan prosiding hari ini bagi pihak responden kedua memfailkan hujahan bertulis dalam tempoh sebulan dan menetapkan 18 Sept untuk pendengaran permohonan itu,” katanya.

Hari ini mahkamah dijadual mendengar permohonan Badan Peguam Malaysia, yang diwakili Datuk Zainur Zakaria, secara ex-parte.

Selepas Zainur selesai berhujah, Muhammad Shafee mencelah dan memohon agar pihaknya dibenar menyertai prosiding itu kerana ia membabitkan kepentingan Najib.

Bagaimanapun, Zainur membantah atas alasan peguam itu tidak boleh menyertai prosiding di peringkat kebenaran namun dibenarkan berhujah dalam prosiding semakan kehakiman apabila kebenaran diperoleh.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Jabatan Peguam Negara.

Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman pada 26 April lepas dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden.

Ia memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Jan lepas yang mengurangkan hukuman penjara Najib sebanyak 50 peratus yang menyaksikan beliau dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028 adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Turut dimohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan denda RM210 juta kepada RM50 juta, dengan syarat jika Najib gagal membayar denda itu, tempoh penjara akan dilanjutkan selama setahun dan tarikh pembebasan awal beliau pada 23 Ogos 2029 adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan serta tidak sah.

Najib, 70, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 dan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN