KLANG, 22 Februari- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 598 pendatang tanpa izin berumur antara 17 hingga 57 tahun menerusi operasi penguatkuasaan di Kompleks Pasar Meru di sini awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, ada dalam kalangan pendatang berkenaan merangkak dan menyorok dalam longkang sempit untuk mengelak daripada dicekup pihak berkuasa.
"Kesemua mereka pendatang tanpa izin ini akan kita ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan susulan. Antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, melanggar syarat pas dan ada yang tinggal lebih masa.
"Mereka terdiri daripada warga Indonesia ada tujuh orang lelaki dan dua orang wanita, Bangladesh (85 orang semua lelaki), India (lima orang lelaki) dan Myanmar (530 orang lelaki) dan Nepal (seorang)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas operasi penguatkuasaan JIM di Kompleks Pasar Meru, di sini.
Antara alasan yang diberi pendatang asing terbabit bagi mengelak ditahan ialah mereka mendakwa sebagai pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Terdapat segelintir pendatang asing yang bekerja sebagai peniaga dan menyewa kedai tersebut daripada rakyat tempatan.
Turut hadir pada operasi itu termasuk Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain dengan kekuatan keseluruhan sebanyak 153 pegawai JIM, Pasukan Gerakan Am (PGA), MBDK dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dalam sidang media sama Abd Hamid Hussain turut memaklumkan hampir 50 peratus daripada keseluruhan 600 lot telah dilesenkan MBDK disewakan kepada warga asing.
"Kalau kita mendapati bahawa premis perniagaan disewakan kepada warga asing tanpa kelulusan majlis, maka kita dari segi polisi boleh mengambil tindakan untuk membatalkan lesen dan menamatkan penyewaan kepada pemilik ataupun peniaga berkenaan.
"Pihak majlis hanya menawarkan lesen kepada warga tempatan tetapi seandainya ada maklumat yang kita dapat dan kita akan susuli dengan tindakan lanjut berhubung aduan berkenaan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pemeriksaan lanjut akan dilaksana untuk mengenal pasti jumlah sebenar lot yang terlibat untuk memastikan kemudahan berkenaan tidak disalahgunakan.