KLANG, 15 MAC – Sebuah gudang kurier di Meru mengalami kerugian sebanyak RM46,000 selepas disamun tiga individu bertopeng dan bersenjatakan parang dalam kejadian yang berlaku tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S. Vijaya Rao, berkata insiden tersebut berlaku kira-kira 12.26 tengah hari ketika pekerja sedang mengira wang tunai.
"Pada ketika itu, sebuah kereta sedan berwarna biru yang dinaiki tiga suspek tiba di lokasi sebelum bertindak menyamun premis tersebut menggunakan senjata.
"Kesemua suspek melarikan wang tunai berjumlah RM46,000. Namun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut Vijaya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman bagi kes samun berkumpulan menggunakan senjata.
Katanya, usaha mengesan suspek masih giat dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Insp Fazlan Rezza, di talian 011-10561017 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kesemua suspek sedang bersembunyi dalam sebuah kenderaan yang diparkir di dalam gudang premis berkenaan sebelum melakukan jenayah tersebut.