KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Seorang pengarah syarikat dan seorang akauntan rugi RM86,700 selepas diperdaya sindiket tawaran tender palsu.
Kedua-dua mangsa lelaki itu dihubungi melalui panggilan telefon yang menawarkan projek kerajaan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata, ia membabitkan tawaran pembekalan power station ke Jabatan Kebajikan Masyarakat Besut dan membekal 80 kotak kurma untuk majlis berbuka puasa .
"Mangsa yang curiga selepas beberaoa transaksi dibuat mendapati tiada tawaran tender seperti dinyatakan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," kata Azli.
Sementara itu dalam satu kes berlainan, seorang pengurus hotel kerugian sebanyak RM60,000 selepas ditipu kenalan yang menjalankan urusan jual beli tanah.
Mangsa bertindak menyerahkan 10 keping geran kepada rakannya yang dikenali sebagai Aimi untuk gadaian bagi tempoh tiga bulan.
"Curiga dengan sikap rakannya, mangsa membuat semakan di pejabat berkaitan mendapati dua lot tanah kepunyaannya bernilai RM60,000 ditukar milik kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan serta kebenaran," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.