KLANG, 5 Mei - Polis berjaya menumpaskan Geng Along Jep yang dipercayai terlibat dalam kes curi kenderaan lama.
Tangkapan dibuat menerusi beberapa serbuan Op Lejang di sekitar Klang, sejak 10 April lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Mohd Zaini Abu Hassan berkata, empat lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.
Mereka dipercayai aktif mencuri kenderaan di sekitar Shah Alam, Kuala Selangor dan Klang.
Antara sasaran utama geng ini termasuk model lama seperti Perodua Kancil dan Proton Iriz.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
Menurutnya lagi, siasatan mendapati kenderaan yang dicuri tidak dijual, sebaliknya digunakan sendiri oleh suspek.
Mereka juga menukar nombor pendaftaran sebelum mencuri kenderaan lain bagi tujuan alat ganti.
Geng ini menggunakan teknik asas, dengan mengambil kesempatan ke atas kecuaian pemilik seperti meninggalkan kunci atau tidak mengunci kenderaan dengan sempurna.
Keempat-empat suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.