fb fb fb fb fb

16 warga asing ditahan di markas pelacuran dalam talian

Antara warga asing yang ditahan dipercayai menawarkan aktiviti pelacuran./ Foto Ihsan JIM

16 WARGA ASING DITAHAN DI ‘MARKAS’ PELACURAN DALAM TALIAN

KUALA LUMPUR 6 Mei: Seramai 16 individu warga asing ditahan dalam operasi khas ke atas premis tanpa nama yang dipercayai menawarkan khidmat pelacuran di ibu negara dan Selangor.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Imigresen, Ismail Mokhtar berkata, operasi dijalankan jam 7.15 malam semalam di Pandan Perdana dan Seri Kembangan dan ianya adalah hasil risikan selama dua minggu berserta maklumat awam.

“Kami berjaya menahan dua lelaki warga tempatan dipercayai penjaga premis, serta 14 warga asing.

“Antaranya, dua lelaki dan tujuh perempuan warga Vietnam, empat perempuan warga Indonesia, dan seorang perempuan warga Laos,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, semua yang ditahan berusia antara 19 hingga 61 tahun.

“Modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan pelacuran wanita warga asing melalui iklan di media sosial.

“Caj yang dikenakan oleh mereka adalah antara RM250 hingga RM1,200 bagi setiap perkhidmatan seks, dan bayaran dibuat secara tunai atau dalam talian,” katanya.

Katanya, antara barangan yang dirampas dalam operasi berkenaan adalah 19 unit telefon bimbit, beberapa naskhah pasport Laos dan Vietnam, buku rekod kerja, serta buku urus niaga.

“Siasatan awal mendapati sebahagian daripada mereka tidak memiliki sebarang dokumen sah, manakala dua warga Vietnam tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dan dihantar ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya.

MOHAN CHINNASAMY