MARANG, 23 Jun- Polis Daerah Marang berjaya menahan enam 'tokan' atau penedar dadah dalam empat siri operasi berasingan yang dilakukan sejak seminggu lalu.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Redzuan berkata, nilai rampasan bagi kesemua rampasan dadah dianggarkan bernilai RM16,400 manakala jumlah sitaan bernilai RM23,000.
"Kita nampak dengan penangkapan yang dilakukan ini ia agak merunsingkan. Kita lihat gejala ini semakin menular sebab dalam seminggu empat kes melibatkan Akta 39B.
"Jadi sememangnya kita memerlukan kerja keras yang lebih agresif untuk memastikan daerah Marang ini khususnya bersih," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Marang, di sini.
Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Tangkapan pertama dilakukan pada 16 Jun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di Kampung Gunung Kasim, Merchang.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 36 tahun direman selama tujuh hari, bermula 17 hingga 23 Jun dan positif methamphetamine.
Dua daripada tiga suspek mempunyai rekod lampau iaitu memiliki dadah dan positif ujian air kencing.
Dalam operasi itu pihaknya merampas 51.06 gram pil kuda dan 1.08 gram syabu dan turut disita sebuah motosikal.
Bagi kes kedua, tangkapan dilakukan 17 Jun lalu di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Alor Limbat, Bukit Payung.
Hasil operasi tersebut pihaknya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga positif methamphetamine dan merampas pil kuda seberat 57.1 gram serta menyita sebuah motosikal.
Sementara itu tangkapan kes ketiga pula dilakukan pada 21 Jun lalu di kawasan hutan di atas bukit di Kampung Batangan dan seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan.
Manakala tangkapan terbaru dilakukan di Kampung Wakaf Dua Bukit Payong kira- kira 11.15 pagi semalam dan menahan lelaki berusia 36 tahun bersama pil kuda seberat 51.59 gram dan heroin (4.62 gram).