fb fb fb fb fb

Sindiket vape kokain bernilai RM7.2 juta tumpas, empat ditahan

Katrij cecair vape yang disyaki mengandungi dadah jenis kokain, dirampas dalam serbuan di Ampang pada 19 Jun lalu / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Polis merampas hampir 5,000 katrij cecair vape mengandungi dadah jenis kokain bernilai RM7.2 juta dalam serbuan ke atas sebuah kenderaan di Ampang Jaya, Selangor pada 19 Jun lalu.

Serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 11.45 pagi di kawasan parkir sebuah hotel itu turut membawa kepada penahanan empat individu, termasuk tiga warga Singapura dan seorang warga tempatan, berusia antara 25 hingga 57 tahun.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata sindiket berkenaan menyewa sebuah bilik hotel dengan kadar RM300 sehari sebagai lokasi memproses dan membungkus cecair vape sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa.

“Siasatan awal mendapati semua katrij cecair vape itu disasarkan untuk pengguna elit antarabangsa, dan ia dihantar menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, petang tadi.

Rampasan membabitkan 10 kotak berisi 4,958 katrij vape, dengan jumlah keseluruhan cecair dianggarkan 9,420 mililiter.

Setiap katrij bernilai kira-kira RM1,500 dan mampu disedut sehingga 100 kali.

Datuk Mat Zani menjelaskan, rampasan itu adalah yang pertama seumpamanya melibatkan cecair vape mengandungi kokain di negara ini.

Beliau menyifatkan ia sebagai satu ancaman baharu, memandangkan kokain amat sukar diperoleh di Asia Tenggara dan lazimnya digunakan oleh golongan berada.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis ketamin, manakala dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 20 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN