fb fb fb fb fb

Empat pengarah syarikat ditahan, beri rasuah RM230,000

Empat orang pengarah syarikat ditahan reman kerana disyaki memberikan wang suapan berjumlah RM230,000

PETALING JAYA, 9 Mac- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat orang pengarah syarikat kerana disyaki telah memberikan wang suapan berjumlah RM230,000 yang dibayar secara pindahan dalam talian dan mesin wang tunai ke dalam akaun pegawai majlis perbandaran.

SPRM dalam satu kenyataan berkata perintah reman selama lima hari dikeluarkan bermula hari ini (9 Mac) hingga 13 Mac depan bagi suspek pertama, kedua dan keempat.

Manakala perintah reman selama enam hari bermula hari ini (9 Mac) hingga 14 Mac depan ke atas suspek ketiga. Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Tuan Arif Danial Shah Bin Shahril Noor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.

"Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki berusia sekitar 30-an sehingga 40-an dipercayai melakukan kesalahan tersebut dari tahun 2020 hingga 2023 sebagai balasan perlantikan keempat-empat syarikat tersebut bagi kerja-kerja kontrak pembersihan bernilai kira-kira RM2 juta.

"Suspek-suspek tersebut telah ditahan kira-kira pukul 7.30 petang semalam sehingga 2.00 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor," kata kenyataan itu.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan tangkapan ke atas keempat-empat supek dan siasatan dijalankan bawah Sekyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI