fb fb fb fb fb

Empat lelaki ditahan disyaki culik pemilik restoran

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang juga Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin / Foto RTM

GEORGETOWN, 8 Mac - Empat lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan tiga warga China, ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penculikan pemilik sebuah restoran.
 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang juga Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata suspek berusia 32 hingga 40 tahun itu ditahan di sekitar Georgetown hari ini.

Jelas beliau, susulan itu, satu pasukan khas ditubuhkan dengan keanggotaan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang selepas menerima laporan daripada seorang wanita warganegara China memaklumkan suaminya telah diculik kira-kira 6 petang semalam. 

"Motif masih lagi dalam siasatan lagi sebab kita masih lagi nak dapatkan dalang utama penculikan yang masih bebas dan kita akan dapatkan dia punya 'Intelligence Statement (IS)' dan kita akan mengetahui tujuan dan motif sebenar.

"Ini dalam peringkat awal tapi mangsa sudah diselamatkan. Itu yang penting", katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Tambah Kok Chin mangsa berusia 30 tahun berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan serta berada dalam keadaan letih walaupun wang tebusan berjumlah lebih RM270,000 telah dibayar. 

Kesemua suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik. 

Polis masih memburu tiga lagi suspek warga China yang dipercayai terbabit dengan kejadian itu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD