fb fb fb fb fb

Empat mat motor buat aksi 'Superman' di LPT1 ditahan

Tangkap layar video tular menunjukkan sekumpulan individu menunggang motosikal secara berbahaya di sebuah lebuh raya sebelum terbabas

TEMERLOH, 28 Disember- Empat individu yang melakukan aksi 'Superman' serta menunggang secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) pada Ahad lalu sudah pun ditahan, semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Polis, Mazlan Hassan, berkata semua mereka berusia 19, 20, 22 dan 15 tahun itu ditahan di rumah masing-masing pada pukul 4.42 petang.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat berdasarkan video tular yang berlaku di Jambatan Ahmad Shah, LPT1, Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Temerloh bertindak menjejaki suspek.

Turut ditemui motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang digunakan dan kesemua penunggang dikesan mengalami kecederaan di bahagian tapak tangan, lutut, bahu, punggung dan kaki. 

Mazlan berkata, mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Temerloh dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular video di media sosial menunjukkan sekumpulan individu menunggang motosikal secara berbahaya di sebuah lebuh raya sebelum terbabas.

Dalam rakaman berdurasi 28 saat itu, penunggang motosikal berkenaan dilihat bersaing sesama sendiri sambil membuat aksi sebelum seorang daripadanya hilang kawalan dan terbabas.

Insiden menyebabkan beberapa penunggang lain di belakangnya turut terjatuh ketika cuba mengelak rakan mereka yang terbabas.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE