fb fb fb fb fb

Bekas eksekutif pentadbiran tidak mengaku 29 tuduhan pecah amanah

Tertuduh, M Vijairani, 44

BUTTERWORTH, 27 Disember- Seorang bekas eksekutif pentadbiran syarikat kawalan keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen sini, hari ini atas 29 pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM350,000.

Tertuduh, M Vijairani, 44, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dia yang ketika itu bekerja sebagai eksekutif pentadbiran di Syarikat Force One Protection (M) Sdn Bhd di Jalan Chain Ferry, Taman Inderawasih Perai melakukan kesalahan itu pada 20 April 2021 hingga 25 Mei lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 14 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh diwakili peguam G Shanmugam.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan membabitkan jumlah keseluruhan RM87,000 dengan dua penjamin yang mempunyai pendapatan RM5,000 sebulan ke atas.

Tertuduh juga diminta menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Kes akan disebut semula pada 24 Januari depan untuk serahan dokumen.

SITI AISHAH BINTI MD ISA