BUTTERWORTH, 3 Februari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menggagalkan satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Op Tiris 3.0 dalam operasi di sebuah premis di Sungai Lokan di sini.
Operasi pada pukul 2.00 petang tadi mendapati premis terbabit dijadikan stor haram bagi menyimpan dan memindah bahan api terbabit.
Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata, empat lelaki tempatan turut ditangkap semasa operasi berkenaan.
"Pasukan pemeriksaan menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan sebanyak 27,000 liter. Selain itu beberapa peralatan lain iaitu sebuah motor lori, kenderaan pacuan empat roda, beberapa tangki jenis IBC yang berisi minyak diesel yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan ini disita.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM260,860 dan empat lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan operasi di Sungai Lokan, di sini.
Modus operandi sindiket terbabit menggunakan lori yang diubah suai bagi mengambil diesel dari beberapa stesen minyak sekitar sebelum dipindahkan ke stor tersebut sebelum dijual ke pasaran gelap.
Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi mengenal pasti individu terlibat dalam sindiket terbabit.
Siasatan turut dijalankan ke atas sumber dan rangkaian pengedaran minyak diesel terbabit.