fb fb fb fb fb

Tukang jahit didenda RM4,000 hina Agong di Facebook

Norli Mohamed Yusof, 53 tahun, mengaku menghina Yang di-Pertuan Agong menerusi Facebook, tahun lalu/RTM

JOHOR BAHRU, 4 Februari- Seorang tukang jahit didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong menerusi hantaran di Facebook, tahun lalu.

Norli Mohamed Yusof, 53 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, ibu kepada lima anak itu didakwa menerbitkan hantaran melalui akaun Facebook bernama "Nori Norli" dengan kata-kata berbaur hasutan yang mempunyai kecenderungan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan tersebut dilakukan pada 11 Disember lalu, kira-kira pukul 2.00 petang di Bandar Seri Alam, di sini.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Ghafar Abdul Latif, manakala Norli diwakili peguam K. Bharati daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

SITI AISHAH MD ISA