DUNGUN, 4 Februari- Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun disyaki menjadi mangsa cabul oleh seorang bomoh lelaki berusia 20 tahun di daerah Kemaman pada 31 Januari lalu.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata mangsa yang didakwa disihir itu dicabul ketika proses rawatan selepas ibu bapa kanak-kanak itu membawa suspek ke rumah mereka.
Mangsa kemudian mengadu kepada ibunya mengenai kejadian itu dan laporan polis dibuat pada 1 Februari. Suspek yang masih bujang ditangkap di rumahnya di Kerteh dan direman selama tujuh hari bermula 2 Februari lalu.
"Untuk kesalahan ini, suspek disabitkan bawah Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
"Suspek juga ada beberapa rekod jenayah lampau antaranya Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Kami telah melakukan ujian urin terhadapnya dan keputusan adalah negatif," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Temuduga Kanak-Kanak CIC Kedua Kontinjen Terengganu di Teluk Lipat di sini hari ini.
Tambah Mohd Khairi, kanak-kanak itu juga merupakan mangsa pertama memberi keterangan di Pusat Temuduga Kanak-Kanak CIC Kedua Kontinjen Terengganu sebagai sebahagian prosedur siasatan.