fb fb fb fb fb

Empat lelaki gaduh guna pisau di kedai makan ditahan

Tangkap layar di media sosial mengenai insiden pergaduhan yang tular berlaku di sebuah kedai makan di Jelutong.

GEORGE TOWN, 4 Jun- Empat lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan membabitkan beberapa individu di sebuah kedai makan di Jelutong, di sini seperti yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam Ab Hamid berkata empat lelaki berusia 30-an hingga 55 tahun itu, ditahan di sekitar George Town dan mereka kini direman hingga 5 Jun bagi membantu siasatan.

“Pada hari ini ini, pihak polis telah terkesan sebuah video yang memaparkan beberapa individu bergaduh bersenjatakan pisau dan hasil semakan mendapati ia berlaku kira-kira 6.30 petang pada Sabtu dan susulan kejadian tersebut, polis telah menahan empat lelaki bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal polis, lelaki berusia 55 tahun itu datang ke kedai makan milik anak saudaranya (lelaki) dan membuat kacau sebelum pemilik kedai tersebut berang, serta bertindak memukulnya sebelum dua pelanggan yang berada di situ meleraikan pergaduhan tersebut,” katanya.

Beliau memaklumkan pihak polis telah merampas senjata pisau yang digunakan dalam kejadian itu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 324 serta 160 Kanun Keseksaan.

Terdahulu tular video berdurasi 38 saat memaparkan beberapa individu lelaki yang bersenjatakan pisau, bergaduh di sebuah kedai makan sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan pelanggan di situ.

ZEHRA BINTI ZAMBRI