fb fb fb fb fb

Empat lelaki didakwa culik wanita Indonesia

Foto RTM

GEORGETOWN, 13 Disember-Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town atas pertuduhan melarikan secara paksa seorang wanita warga Indonesia pada minggu lalu.

Tertuduh, R. Narindran 30 tahun, Mohammad Syafiq Segnar Abdullah 29 tahun, M. Areveen Raj 28 tahun dan R. Jayruban 25 tahun minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat didakwa secara bersama-sama dengan seorang yang masih bebas melarikan wanita berusia 41 tahun secara paksa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 5 hingga 7 Disember , pukul 8.00 malam hingga pukul 11.45 pagi di Jalan Kelawai, Pulau Tikus, dan di sebuah kondominium di Jalan Baru, Perai.

Kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tujuh tahun dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali dan kesemua tertuduh diwakili peguam, K. Mahendran.

 Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang beserta penjamin serta perlu melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap bulan sehingga kes selesai serta tidak dibenarkan menganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD