PASIR PUTEH, 13 Disember – Seorang lelaki maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Jeram Pasu di sini, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai memiliki 24 rekod pelbagai jenayah lampau selain 17 rekod pelbagai jenayah samun, senjata api serta 7 kes berkaitan narkotik.
Beliau berkata, insiden berlaku selepas anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) mengekori kereta Perodua Bezza yang dipandu suspek dari Melor, Kota Bharu sebelum cuba menahan kenderaan itu di Jalan Jeram Pasu.
Namun, suspek bertindak agresif dengan keluar dari kereta dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis.
"Setelah kita menahan kereta tersebut, seorang lelaki telah keluar dari bahagian pemandu dan terus melepaskan beberapa das tembakan kepada pihak polis.
"Pihak JSJ kita telah membalas tembakan sehingga keadaan dan anggota menjadi selamat. Selepas itu, tiada lagi tembakan dan pemeriksaan mendapati suspek telah mati," katanya kepada media di lokasi kejadi di Jeram Pasu pada Jumaat.
Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemui sepucuk pistol semi auto, sepucuk pistol tiruan, sebilah parang, dan sebungkus tembakau yang dipercayai untuk diseludup ke dalam penjara.
Operasi menangkap suspek ini adalah hasil risikan dan operasi pencegahan jenayah yang dijalankan oleh polis Kelantan.
Mayat suspek telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk tindakan lanjut.