fb fb fb fb fb

Empat individu terpedaya tawaran lumayan TikTok seludup ganja 86kg

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di ibu negara/RTM

SEPANG, 6 November – Dua pasangan lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an ditahan setelah bagasi mereka disyaki mengandungi bunga ganja dengan anggaran nilai RM8.3 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Isnin lalu.

Ketua Pengarah Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata cubaan penyeludupan itu dipercayai bermula dari Johor ke Pulau Pinang, apabila bagasi kesemua suspek disyaki mengandungi 68 bungkusan bunga ganja seberat 86 kilogram.

"Mereka terpedaya apabila mengikuti satu laman dalam platform Tiktok. Hasil siasatan pegawai AKPS, laman itu telah diturunkan jadi saya mengambil kesempatan ini untuk menegaskan kepada semua pengguna laman media sosial, tiada apa yang datang mudah," kata beliau pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Jelasnya lagi, siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku menerima tawaran kerja melalui TikTok dengan janji bayaran antara RM8,000 hingga RM11,000 bagi membawa barangan ke Manchester, United Kingdom, sambil melancong.

Kesemua suspek telah diserahkan kepada Bahagian Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau turut menegaskan bahawa AKPS akan terus memperketat kawalan serta pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ