MELAKA, 5 November - Polis negeri ini memberkas 16 individu selepas dipercayai terbabit kegiatan penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa warga Equador.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata penahanan membabitkan enam lelaki warga tempatan dan 10 lelaki warga asing berusia antara 16 hingga 38 tahun itu hasil serbuan ke atas sebuah premis di Taman Paya Rumput Perdana, Tanjung Minyak pada Selasa.
"Modus operandi digunakan, sindiket menghubungi mangsa melalui aplikasi Whatsapp dan Telegram sebelum mempromosikan pelbagai jenis barangan seperti pakaian dan jam tangan menerusi laman sesawang 'Shein Mall'.
"Mangsa yang terpedaya akan membuat pembelian sebelum diarah membuat pembelian kali kedua. Mangsa turut ditawarkan keuntungan jika dapat menjual barangan tersebut pada harga lebih tinggi," jelasnya.
Menurut beliau, selepas mangsa membeli beberapa barangan, sindiket akan memutuskan komunikasi.
Tambahnya, siasatan mendapati laman sesawang berkenaan adalah palsu dan kesemua individu yang ditahan dipercayai dibayar gaji RM4,000 sebulan.
Selain tangkapan, polis turut merampas pelbagai barangan yang digunakan sindiket berkenaan dengan nilai keseluruhan dianggar RM20,000.