fb fb fb fb fb

Empat individu terlibat dalam kes culik tiga remaja di Skudai direman empat hari

FOTO HIASAN

JOHOR BAHRU, 17 Jun- Polis mengesahkan penahanan empat lelaki disyaki mempunyai kaitan dalam kes tiga remaja lelaki dilarikan sekumpulan lelaki dari sebuah pasar raya di Skudai, 15 Jun lalu.

Kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berumur dalam lingkungan 15 hingga 20 tahun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh menerusi satu kenyataan memaklumkan, penahanan dilakukan pada pukul 8 malam semalam di Skudai.

Beliau berkata, polis turut merampas kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan serta menjumpai semula barangan milik mangsa.

Jelas Balveer, permohonan reman terhadap keempat-empat suspek dibenarkan selama empat hari bermula 17 hingga 20 Jun.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam pada Sabtu lepas, ketiga-tiga mangsa dilarikan sekumpulan lebih kurang 10 lelaki yang seorang daripadanya dikenali oleh mangsa, dengan menggunakan tiga kereta ke sebuah lokasi yang tidak dapat dipastikan.

"Suspek telah memukul dan merakam gambar bogel mangsa serta mengugut akan menularkan gambar terbabit sekiranya kejadian itu terbongkar.

“Suspek kemudian telah melarikan diri bersama-sama dengan barangan peribadi milik mangsa dan meninggalkan mangsa di lokasi yang sama,” katanya.

"Mangsa yang cedera lebam di bahagian muka dan tangan berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam dan telah dihantar ke hospital bagi tujuan rawatan sebelum datang ke balai polis untuk membuat laporan pada 6.45 pagi semalam,"katanya.

Tambah Balveer, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif kejadian.

Kes disiasat bawah Seksyen 363, 324 dan 506 Kanun Keseksaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE