fb fb fb fb fb

Kedai emas di Metro Kajang dirompak empat lelaki bersenjata senapang dan pistol

Tangkap layar video tular yang memaparkan kejadian rompakan di sebuah kedai emas di Plaza Metro Kajang hari ini

KAJANG, 17 Jun- Sebuah kedai emas di pusat beli belah Plaza Metro Kajang di sini telah dirompak oleh sekumpulan lelaki bersenjata termasuk senapang dan pistol hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Penguasa Polis Mohamad Nasir Drahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada seorang saksi menerusi panggilan kecemasan MERS 999 pada pukul 3.30 petang tadi.

Hasil siasatan awal mendapati insiden melibatkan empat suspek bertopeng yang memakai pakaian seakan pengawal keselamatan serta bersarung tangan gelap, kira-kira pukul 3.17 petang.

Menurut Mohamad Nasir, suspek telah memasuki premis yang terletak di tingkat satu sebelum terus memecahkan cermin kaca tempat simpanan emas menggunakan tukul besi sambil mengambil barang berharga.

"Semasa kejadian suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan satu laras senapang, serta telah melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis sebelum melarikan diri melalui tempat letak kereta di bawah bangunan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis masih menjalankan siasatan ke atas rakaman litar tertutup (CCTV) dalam bangunan tersebut, begitu juga terhadap beberapa orang saksi bagi membantu siasatan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak melibatkan kecederaan mahupun kematian.

Dalam pada itu, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan balai polis berdekatan atau terus kepada Pegawai Penyiasat, Penolong Penguasa Polis Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-2446768.

Mohamad Nasir berkata, jumlah kerugian masih dalam siasatan dan belum dapat disahkan.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa rakaman memaparkan insiden berkenaan dalam pusat beli belah yang sedang dikunjungi orang ramai.

SITI AISHAH MD ISA