MIRI, 17 Jun- Seramai 11 penunggang motorsikal berumur antara 18 tahun hingga 26 tahun ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Miri, Sabtu lalu.
Operasi dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di tiga kawasan di Miri dari pukul 12.30 tengah malam hingga 6 pagi.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan media mengesahkan tangkapan tersebut adalah hasil pemantauan dan risikan yang dibuat semasa operasi dijalankan di sekitar kawasan Jalan Miri Bypass, Jalan Marina dan Taman Millenium Jalan Dato Permaisuri, Miri.
Katanya, penunggang motorsikal yang ditahan dikesan melakukan aksi bersaing sesama sendiri (uji kelajuan), ‘wheeli’ dan mengubah haluan sekali gus berbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
Sepanjang operasi juga pihak polis telah mengeluarkan sebanyak 98 saman dan turut menyita sebelas 11 buah motosikal atas pelbagai kesalahan.
Kesemua 'mat rempit' tersebut ditahan bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 dan dibawa ke Balai Polis Trafik Miri untuk tindakan selanjutnya.