fb fb fb fb fb

Edar dadah, dua lelaki warga Indonesia berdepan hukuman gantung

Foto Hiasan/Foto RTM

TELUK INTAN, 27 Julai-Dua lelaki warga Indonesia berdepan hukuman gantung sampai mati atas dakwaan mengedar dadah jenis seberat 10.61 kilogram pada 15 Julai lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Budi Heriansyah dan Jasli masing masing berusia 42 dan 48 tahun yang bekerja sebagai nelayan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati secara bersama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 10.61 kilogram di kawasan Jeti Nelayan Kampung Bagan Sungai Tiang pada pukul 10 malam 15 Julai lepas.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 38B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan 15 sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Sebutan semula kes pada 27 September depan bagi serahan laporan kimia.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD