fb fb fb fb fb

Bayi ditidurkan di ICU dipercayai didera ibu dan teman lelaki

Foto RTM

PONTIAN, 26 Julai - Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan terpaksa ditidurkan dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor, selepas dipercayai cedera akibat didera ibu kandung dan teman lelakinya.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, perbuatan tersebut terbongkar, semasa wanita berkenaan membawa mangsa ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan, selepas bayi tersebut tidak sedarkan diri.

Bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Pontian, untuk mendapatkan rawatan lanjut, sebelum pihak hospital membuat laporan polis, pada pukul 9:15 pagi, selepas mengesyaki terdapat unsur penderaan.

Mangsa didiagnosis mengalami pendarahan otak dan kekurangan oksigen, serta mengalami kecederaan di dahi dan lebam di bahagian mata, semasa dirujuk di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Bayi tersebut kini ditidurkan, kerana mengalami masalah pernafasan.

Polis bertindak menahan ibu bayi berumur 26 tahun itu, serta teman lelakinya berumur 24 tahun.

Mereka direman sehingga 31 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD