GOMBAK, 18 Oktober- Dua suspek lelaki ditahan polis dalam dua serbuan berasingan disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bernilai RM3.1 juta.
Penahanan tersebut turut dibantu hasil maklumat orang ramai.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar, pihaknya berjaya merampas 93.82 kilogram bungkusan teh China berisi dadah jenis Methamphetamine.
"Antara salah satu sindiket yang aktif di Lembah Klang ini. Kita percaya dadah ini diseludup dari negara jiran di utara."
"Kemungkinan besar dadah ini juga akan diedarkan ke negara jiran lain juga," kata Hussein kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Gombak.
Kes itu disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan.