KOTA BHARU, 18 Oktober- Kematian seorang lelaki warga Rohingya di sini, semalam, yang ditikam lebih 40 kali pada bahagian dada dan perut oleh rakan senegeranya adalah bermotifkan cemburu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa, 44, dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan isteri suspek berusia 29 tahun.
Suspek, 32, dan mangsa dilapor pernah menyewa bersama sebelum mereka tinggal berasingan bersama isteri masing-masing.
Siasatan juga mendapati ketika kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, isteri suspek turut berada dalam rumah tersebut.
"Siasatan juga akan dibuat selain daripada motif cemburu, kemungkinan ada perkara-perkara lain yang melibatkan antara keduanya.
"Kita akan menyiasat secara menyeluruh kerana saya lihat kebelakangan ini banyak kes melibatkan warga Rohingya, ada kes melibatkan seksual, kemalangan dan sebagainya
"Pihak PDRM Kelantan akan menumpukan kawasan-kawasan yang didiami oleh mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Polis turut merampas sebilah pisau yang digunakan suspek dalam kejadian itu.
Suspek dan isteri yang ditahan semalam kini direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret sini sehingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Syafiq Nazri.
Media semalam melaporkan, seorang warga Rohingya ditemui mati dalam pergaduhan di sebuah rumah di Kampung Melor Lama di sini dengan mayat mangsa ditemukan di kawasan kebun jagung bersebelahan rumah yang disewa oleh suspek.