fb fb fb fb fb

Dua sindiket dadah tumpas, rampasan bernilai RM6.37 juta

Sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor

SHAH ALAM, 4 Mac- Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bernilai RM6.3 juta menerusi operasi di Kuala Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Februari hingga 2 Mac lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata bagi kes pertama, pemeriksaan terhadap satu bungkusan mengandungi mesin pembakar wafel di bahagian kargo KLIA pada 28 Februari menemukan tiga bungkusan dadah jenis syabu seberat 3.094 kilogram (kg).

Penemuan itu membawa kepada penahanan dua lelaki masing-masing berusia 27 dan 31 tahun pada 1 Mac di pintu pelepasan domestik KLIA. Modus operandi sindiket adalah menghantar dadah melalui perkhidmatan kurier untuk mengaburi mata pihak berkuasa bagi pengedaran di Sarawak.

"Susulan tangkapan tersebut, dengan dipandu arah kedua-dua suspek ke sebuah rumah di Kajang, turut menemukan dadah jenis Erimin 5 seberat 20 kg, syabu 126.42 gram dan ketamin 75.6 gram dengan keseluruhan nilai rampasan bagi kes ini berjumlah RM2.2 juta.

"Sebuah kereta bernilai RM60,000 turut disita. Sebelum digagalkan kami percaya ini merupakan kali keenam mereka melakukan aktiviti ini sejak Januari tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di sini.

Menerusi semakan polis, kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah namun seorang daripada mereka positif dadah jenis ketamin.

Sementara itu kes kedua pula melibatkan penahanan lima lelaki dan seorang wanita menerusi operasi ke atas sebuah rumah di Kuala Selangor pada 28 Februari.

Turut dirampas dadah jenis ketamin seberat 40.81 kg, syabu (1.03 kg), Erimin 5 (127.55 gram) dan caffeine (8.52 kg).

Hasil operasi itu pihaknya dipandu arah seorang suspek ke sebuah rumah lagi di Tanjung Karang yang kemudiannya menemukan dadah jenis Erimin 5 seberat 12.14 kg, MDMA (3.2 kg) dan caffeine 125 kg serta merampas tiga jenis kenderaan bernilai RM86,000.

Menerusi kedua-dua rampasan dadah berjumlah RM4.2 juta itu, ia sekali gus menumpaskan sindiket pengedaran dadah bagi pasaran Lembah Klang.

Kesemua suspek terdiri daripada buruh binaan, pekerja ladang sawit, pekerja bengkel dan bekerja sendiri manakala bakinya adalah penganggur merupakan warga tempatan berusia 23 hingga 60 tahun.

Bagaimanapun menerusi semakan rekod lampau mendapati empat suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan narkotik dengan dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Kesemua suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI