KOTA BHARU, 4 Mac- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Sapu yang dijalankan selama dua hari bermula semalam di Tanah Merah dan Jeli.
Pengarahnya Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata operasi itu turut menahan tiga kanak-kanak warga Indonesia berusia antara satu hingga empat tahun.
"Bertindak atas maklumat risikan sepasukan anggota bersama 16 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Imigresen telah melakukan serbuan di kawasan rumah kongsi kilang papan dekat Batang Merbau (Tanah Merah) dan Ayer Lanas (Jeli).
"(Hasilnya), JIM Kelantan menahan 11 lelaki, wanita (2) dan kanak-kanak (3) warga Indonesia. Kesemua kanak-kanak ditahan bersama ibu dan bapa masing-masing. Kesemua warga asing dewasa yang ditahan itu berusia antara 30 hingga 60 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Yusoff memberitahu kesemua PATI dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.