ALOR GAJAH, 4 Mac- Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita dalam serbuan di sebuah inap desa di Kuala Sungai Baru di sini pada 27 Februari lalu dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel Telekom Malaysia (TM).
Ketua Polis Daerah, Penguasa Polis (SP) Ashari Abu Samah berkata serbuan yang dijalankan pada 2.00 petang itu turut merampas pelbagai alat pemotong kabel, gulungan kabel, dua kenderaan serta satu paket lutsinar berisi dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM120,000.
"Kesemua suspek ini mempunyai rekod jenayah. Dua suspek utama memiliki 19 rekod jenayah termasuk empat kes dadah, manakala seorang lagi mempunyai 14 rekod berkaitan jenayah dan dadah. Salah seorang daripada mereka masih dikehendaki dalam kes berkaitan dadah dan akan dirujuk kepada pihak narkotik untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini hari ini.
Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam enam kes khianat dan curi kabel di kawasan Alor Gajah serta dua kes di Selangor.
Selain itu, ujian air kencing mendapati dua daripada empat suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Kesemua suspek direman selama enam hari hingga 5 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan, Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.