fb fb fb fb fb

Dua pekerja sangkar ditahan, terlibat dadah

Foto Maritim Malaysia

LANGKAWI, 25 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis bersama-sama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Langkawi berjaya menahan dua lelaki yang juga pekerja sangkar dalam satu operasi bersepadu di perairan Kilim, Pulau Langkawi pukul 9.00 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa dalam satu kenyataan berkata, operasi yang disertai seramai 13 orang pegawai dan anggota dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penagihan dadah dalam kalangan komuniti maritim terutamanya yang bekerja di laut.

"Operasi itu juga dilaksanakan bertujuan membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara khususnya di perairan Pulau Langkawi.

"Menerusi operasi tersebut, seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 30 dan 39 tahun ditahan positif dadah jenis Methamphetamine," kata Romli.

Kes disiasat bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Pihak Maritim Negeri Kedah dan Perlis mengalu-alukan orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia, Maritim Kedah dan Perlis di talian 04-9662750.

TETITIA YUSOFF