fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia tahan dua vesel nelayan asing

Foto Maritim Malaysia

KUALA PERLIS, 25 Julai- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis menahan dua buah vesel nelayan asing (VNA) tanpa nombor pendaftaran.

Penahanan dibuat di dua lokasi berasingan iaitu di kedudukan 7.0 dan 7.3 batu nautika dari barat Kuala Perlis, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain dalam kenyataannya memaklumkan, bot ronda Zon Maritim Kuala yang sedang melakukan rondaan Op AMAN di sekitar perairan Perlis telah menghampiri beberapa buah bot fiber kerana mendapati bot-bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua buah bot terbabit yang berpengkalan di negara jiran sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Kuala Perlis.

Dua tekong masing-masing warga tempatan dan Thailand serta dua orang awak - awak warga Thailand berumur 27 hingga 41 tahun ditahan kerana memasuki perairan Malaysia untuk menangkap hasil laut.

Kesemua hasil tangkapan yang dianggarkan lebih RM20,000 bersama-sama suspek dan bot dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 15 (1) (a) iaitu menangkap ikan dan sebagainya oleh vesel penangkapan ikan asing di perairan Malaysia tertakluk kepada subseksyen (2) iaitu menangkap ikan atau cuba menangkap ikan dan Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 (1) (c) iaitu tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD