fb fb fb fb fb

Dua lelaki maut berbalas tembakan dengan polis

FOTO BERNAMA

JITRA, 5 Julai- Dua lelaki disyaki penjenayah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di susur masuk Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Bandar Darul Aman kira-kira pukul 8.05 pagi tadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kejadian berlaku apabila pasukan rondaan polis terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan kenderaan tersebut berhenti.

Bagaimanapun, suspek enggan memberikan kerjasama dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis, sehingga berlaku insiden berbalas tembakan yang mengakibatkan kedua-dua suspek maut di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemui dua pucuk pistol jenis revolver dan separa automatik, beberapa butir peluru hidup, sebilah parang serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah,” katanya.

Menurut Datuk Fisol, salah seorang suspek yang berusia 41 tahun mempunyai lebih 40 rekod jenayah lampau, manakala identiti suspek kedua masih belum dikenal pasti berikutan tiada pengenalan diri ditemukan.

Tambahnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai anggota kumpulan penjenayah bersenjata yang aktif sejak tahun 2020, terlibat dalam pelbagai kes jenayah berat termasuk pengedaran dadah, pecah kilang, samun dan kegiatan gangsterisme di seluruh negara.

Unit Forensik turut menemui tiga kelongsong peluru di lokasi kejadian, manakala mayat kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE