fb fb fb fb fb

1,005 majikan ditahan kerana menggaji, lindungi pendatang tanpa izin

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban

KUALA LUMPUR, 5 Julai - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan seramai 1,005 majikan yang disyaki menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin dalam tempoh 1 Januari hingga 3 Julai tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, majoriti majikan terdiri daripada pelbagai sektor termasuk restoran, kilang dan kedai, dengan kebanyakannya merupakan warga tempatan yang melindungi warga asing tanpa pas atau permit sah.

"Dalam operasi yang telah dijalankan setakat ini, seramai 97,322 warga asing telah diperiksa.

Daripada jumlah tersebut, 26,326 individu telah ditahan kerana disyaki melanggar undang-undang dan peraturan imigresen.

Selain itu, sehingga 3 Julai, tindakan turut diambil terhadap lebih 1,000 majikan yang didapati bersalah," katanya kepada media selepas merasmikan Larian JIM Kuala Lumpur (IMI KL Run) dan program Hari Bertemu Pelanggan di sini, hari ini.

Tambahnya, sehingga bulan ini, sebanyak 70 peratus daripada KPI yang ditetapkan berjaya dilaksanakan dan pencapaian ini dijangka melepasi sasaran menjelang akhir tahun.

JIM akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan pendatang tanpa izin di negara ini.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE