KUANTAN, 21 November- Dua lelaki ditahan disyaki terlibat menggodam kad kredit dan debit melibatkan mangsa-mangsa dari negara Timur Tengah.
Lelaki warga tempatan dan warganegara China berusia 23 dan 24 tahun itu ditahan di sebuah rumah teres satu tingkat menerusi Ops Dadu di Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, hasil tangkapan mereka, polis sedang mengesan saki-baki ahli sindiket yang menyasarkan mangsa-mangsa dari Timur Tengah seperti Arab Saudi, Turki, Qatar dan Kuwait.
"Mereka menggodam kad kredit mangsa daripada luar negara dan menggunakan kad kredit tersebut untuk penggunaan e-dompet dan daripada pembelian palsu dibuat serta membuat tuntutan menggunakan 'card reader' daripada bank yang telah diluluskan.
"Siasatan awal yang kita jalankan kita percaya, mereka boleh meraih antara RM20,000 ke RM30,000 sehari,"katanya.
Bagaimanapun anggaran kerugian yang dialami mangsa-mangsa masih dalam siasatan pihak polis memandangkan transaksi melibatkan bank di luar negara dan bank di Malaysia.
Polis turut merampas set komputer bagi tujuan menggodam laman sesawang kad kredit dan debit dengan menggunakan server luar negara; 94 buah telefon bimbit bagi menyimpan data kad kredit dan debit di aplikasi wallet; 14 terminal pembayaran mudah alih bagi mengimbas kad kredit dan debit digital.
Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan disambung hari ini untuk siasatan lanjut.
Mereka turut ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebat, dan hendaklah juga dikenakan denda.
Kesalahan turut dilakukan bawah Seksyen 120 (B) (2) Kanun Keseksaan (Pakatjahat Jenayah) dan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada enam bulan atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.