fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia tahan bot nelayan tangkap ikan dikawasan tidak dibenarkan 

FOTO MARITIM MALAYSIA

LANGKAWI, 21 November- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C kerana menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.
 
Bot berkenaan ditahan di kedudukan kira-kira lapan batu nautika barat Tanjung Cincin, Langkawi sekitar pukul 3.00 petang semalam.
 
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Romli Mustafa berkata, penahanan itu dibuat ketika bot ronda Maritim Negeri Kedah dan Perlis sedang melakukan rondaan operasi Op Aman dan Op Tiris di perairan Langkawi.
 
Bot pukat tunda itu ditahan bersama seorang tekong dan tiga kru  yang kesemuanya warga Thailand dalam lingkungan umur antara 26 hingga 51 tahun di zon larangan perikanan ketika sedang leka melakukan aktiviti menunda atau tarik tepi. 
 
Kru, tekong dan bot ditahan bersama ikan campur seberat 1,000 kg telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut.
 
Kes disiasat bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu bawah 15 batu nautika dari pantai.
 
Jelas Romli, kegiatan tarik tepi seperti ini sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan ketika bot tersebut ingin melepasi jarak lima belas batu nautika daripada pantai.
 
Aktiviti menangkap hasil laut kurang 15 batu nautika daripada pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut.
 
Justeru Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan yang melanggar syarat sah lesen.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE