fb fb fb fb fb

Sindiket edar dadah didalangi warga asing lumpuh

FOTO POLIS KL

KUALA LUMPUR, 21 November- Seorang lelaki warga Indonesia disyaki dalang sindiket pengedaran dadah ditahan bersama lima warga tempatan dalam dua serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ampang, Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata kesemua suspek berusia 26 hingga 46 tahun itu ditahan di kawasan lobi dan rumah di kondominium terbabit pada 7.20 malam oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Beliau berkata dalam serbuan berkenaan, polis merampas sebanyak 10 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM341,000 yang ditemui di kawasan lobi kondominium.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung kegunaan lebih daripada 20,000 orang pengguna (user) dadah.

"Turut dirampas tiga kenderaan jenis Toyota Alphard, Toyota Vios dan Perodua Alza yang masing-masing bernilai RM175,000, RM40,000 dan RM75,000.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu aktif sejak dua bulan lepas sekitar Kuala Lumpur dengan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mengikut pesanan yang diterima,” katanya.

Menurut Alaudeen, warga Indonesia tersebut bertindak sebagai ketua manakala lima yang lain iaitu empat lelaki dan seorang wanita, ahli sindiket.

Katanya, kesemua warga tempatan itu positif terhadap dadah jenis methamphetamine, mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan jenayah serta tiga daripadanya merupakan individu dikehendaki polis berkaitan narkotik dan jenayah.

"Semua suspek direman hingga 24 November ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis Kuala Lumpur berharap supaya warga kota terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya kegiatan jenayah dan dadah di Ibu Kota dapat diambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan Kuala Lumpur sebuah bandaraya yang selamat.

"Segala maklumat yang berkaitan dengan dadah boleh disalurkan melalui hotline JSJN melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 (24 jam),"katanya dalam kenyataan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE