KUCHING, 2 Julai - Dua individu yang terlibat dalam kes pengedaran dadah di Sibu membabitkan rampasan pada 12 Jun lalu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sibu, hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dalam kenyataan memaklumkan, kedua-dua suspek Tie Teck Hock,52 tahun dan Lee Chee Fei, 44 tahun, telah didakwa di hadapan Majistret Mahkamah Majistret II Sibu, Oon Kork Chern.
Suspek pertama, Tie Teck Hock dituduh mengedar 1030.8 gram Methamphetamine di kaki lima New Hee’s Food Corner, Jalan Pedada, Sibu kira-kira pukul 10.00 malam pada 12 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua suspek didakwa bersama bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, atas kesalahan mengedar 6055.9 gram Methamphetamine di sebuah bilik stor bawah tangga, tingkat bawah rumah di Permai Jaya, Sibu, pada pukul 1.45 malam, tarikh sama.
Kedua-dua tertuduh juga menghadapi dua lagi pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki 2078.9 gram Ketamin dan 2022.15 gram Nimetazepam.
Tiada pengakuan direkodkan.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh ditahan reman di Penjara Sibu hingga sebutan semula kes pada 22 Ogos depan sementara menunggu laporan daripada Jabatan Kimia Malaysia.
Datuk Mancha Ata turut memaklumkan bahawa sepanjang tempoh 12 hingga 30 Jun 2025, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak telah menyita harta bernilai lebih RM12.9 juta bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988.
Antara yang disita termasuk wang tunai berjumlah lebih RM5.7 juta, 57 akaun bank mengandungi lebih RM1.5 juta, 25 utas barang kemas, sembilan jongkong emas, tiga utas jam tangan mewah, tiga buah kenderaan dan enam beg berjenama mewah.