fb fb fb fb fb

Dua lelaki didakwa edar dadah lebih 590 kg di Terengganu

FOTO RTM

KUALA TERENGGANU, 7 Mei- Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu dan heroin dengan jumlah keseluruhan melebihi 590 kilogram di Setiu.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiquddin Zulkifli.

Tertuduh pertama berdepan dua pertuduhan, manakala tertuduh kedua berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan, jika tidak dihukum mati.

Mereka didakwa mengedar syabu seberat 480.38 kilogram dan heroin seberat 109.89 kilogram. Pertuduhan turut dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana mempunyai niat bersama.

Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Setiu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Najah Azhar.

Tertuduh pertama diwakili peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi dan Hasizan, manakala tertuduh kedua diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Syameer Haziq Shaharuddin.

SITI AISHAH MD ISA