fb fb fb fb fb

39 PATI ditahan dalam Op Gempur Sasar di Kemaman

Seramai 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu dalam Op Gempur Sasar di Kemaman pagi tadi / Foto Bernama

KEMAMAN, 7 Mei - Seramai 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu dalam Op Gempur Sasar yang dijalankan serentak di seluruh negara hari ini.

Tangkapan dilakukan hasil serbuan di beberapa tapak pembinaan sekitar daerah Kemaman, pagi tadi.

Pengarah JIM Terengganu, Mohd Yusri Mohd Nor berkata operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan ke atas 118 individu, termasuk warga tempatan dan asing.

Daripada jumlah itu, seramai 39 individu ditahan melibatkan 35 warga Bangladesh, tiga warga Indonesia dan seorang warga Pakistan berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an.

“Kesalahan paling banyak adalah di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, iaitu salah guna pas. Mereka menggunakan pas lawatan untuk bekerja di tempat lain. Seramai 31 disiasat di bawah peraturan ini. Selain itu, tujuh individu ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) kerana tiada dokumen sah dan seorang individu atas kesalahan overstay (lebih masa),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Op Gempur Sasar, di sini, pagi tadi.

Operasi berkenaan melibatkan 21 pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Terengganu hasil risikan yang dijalankan selama seminggu.

Menurut beliau, sejak Januari lalu, sebanyak 21 notis telah dikeluarkan dan 220 operasi telah dilakukan melibatkan 510 tangkapan.

Dalam operasi hari ini, satu notis turut dikeluarkan kepada majikan untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN